Wednesday, November 4, 2009

Ketahui Makna Valentine's DAY

Assalamualikum,

Perayaan Hari Kekasih atau Valentine’s Day mula membudayai kalangan masyarakat kita khususnya di kalangan muda-mudi, sekitar akhir tahun 1980-an beriringan dengan munculnya siaran-siaran televisyen yang banyak mengupas dan menayangkan iklan ataupun filem-filem yang bertemakan perayaan tersebut. Perayaan Hari Kekasih semakin dikenali oleh generasi muda kesan dari budaya asing yang masuk melalui berbagai saluran media sama ada media cetak mahupun elektronik. Perayaan ini dikenali oleh mereka sebagai perayaan hari berkasih sayang, yang menurut mereka adalah saat yang paling tepat untuk mengungkapkan perasaan cinta dan kasih sayang kepada mereka yang dicintai atau dikasihi. Perayaan ini biasanya diraikan di kafe-kafe, hotel-hotel atau tempat-tempat yang romantik, yang mana setiap pasangan memberikan hadiah berupa bungkusan coklat atau bunga yang bertuliskan perkataan ‘I wish you will be my valentine’ kepada orang yang dikasihi. Setelah itu diadakan pesta-pesta yang diisi dengan hiburan seumpama nyanyian, tarian dan sebagainya. Ini tidak menghairankan kerana budaya ini sememangnya diimport dari budaya barat yang bersifat serba boleh dan hedonisme (menurut hawa nafsu). Kebelakangan ini, pesta perayaan Hari Kekasih dirayakan dengan pelbagai sambutan yang tidak bermoral seperti yang dilaporkan oleh media massa, mereka banyak menghabiskan malam perayaan tersebut dengan berpasang-pasangan serta bergaul bebas dan sebahagiannya diakhiri dengan pesta seks. Perkara ini pernah dikomen oleh Ku Seman Ku Hussain dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 14 November 2000 bertajuk ‘Apa dihairankan dengan parti buih.’ Beliau mengulas bahawa serbuan yang dibuat oleh pihak berkuasa ke atas ‘parti buih’ di Bangsar yang diraikan dengan tarian bogel dan pakaian mandi itu tidak menjadi hairan kerana beberapa tahun sebelumnya pernah ada penganjur yang ingin mengadakan parti yang serupa bersempena Hari Kekasih tetapi mendapat tentangan pihak jawatankuasa Masjid Abu Bakar al-Siddiq, Bangsar. Antara contoh-contoh sambutan yang diadakan adalah melalui program TV yang ditayangkan atas nama ‘Valentine’s Special.’ Di samping itu, didapati mereka sibuk memilih kad-kad ucapan Hari Kekasih, menempah cenderahati, jambangan bunga dan tempahan untuk makan malam bagi merayakan hari tersebut bersama pasangan masing-masing. Pihak hotel pula menawarkan pakej-pakejistimewa seumpama ‘Makan Malam Hari Kekasih atau Hidangan Makan Malam Romantik’ dan sebagainya yang mempunyai tujuan untuk menyambut Hari Kekasih.
Bagi merungkaikan isu ini, kita perlu mendalami dan memahami apakah maksud di sebalik Valentine itu sendiri serta asal-usul ia menjadi sebuah perayaan? Dari sudut bahasa, Valentine dalam bahasa Inggeris atau Valentino dalam bahasa Itali adalah berasal daripada nama sebuah keluarga berbangsa Rom, iaitu Valentinus yang juga berasal daripada bahasa Latin iaitu valens yang bermaksud; kuat, aktif, sihat dan seumpamanya (laman web Behind The Name: The Etemology and History of First Etemology and History of First Name). Menurut sejarah pula, perkataan Valentine diambil sempena nama seorang paderi besar Kristian pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu Saint Valentine. Jasa beliau yang telah berjaya menumpaskan kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol pada 14 Februari 270 Masihi
begitu bermakna bagi Ratu Isabella sehingga dianggap sebagai kekasih rakyatnya sendiri. Justeru itu, 14 Februari disambut setiap tahun oleh rakyat Cordova bagi merayakan kemenangan tersebut dengan dinamakan hari Valentine. Terdapat tiga
pendapat mengenai asal-usul Hari Valentine. Pertama, Hari Valentine bermula semasa pemerintahan empayar Rom iaitu dengan menetapkan 14 Februari sebagai hari cuti bagi orang Juno, ratu kepada dewa-dewa dan dewi-dewi Rom. Hari berikutnya iaitu 15 Februari bermulanya Pesta Lupercalia iaitu perayaan tradisi bagi masyarakat Rom di mana pada malam pesta tersebut, nama-nama gadis Rom ditulis di atas kertas dan dimasukkan ke dalam bekas. Setiap pemuda akan mencabut nama di dalam bekas itu dan nama yang terpilih akan menjadi pasangannya di sepanjang pesta berlangsung.
Pendapat kedua pula menyatakan pada 14 Februari 270 Masihi, St. Valentine dibunuh kerana pertelingkahannya dengan Raja Romawi yang diperintah oleh Raja Claudius II (268-270M). Pada waktu itu Raja Claudius telah membatalkan semua perkahwinan dan pertunangan kerana Rom banyak terlibat di dalam peperangan. Menyedari hakikat itu, St. Valentine dan St. Marius telah mengahwinkan orang-orang Kristian dengan pasangan mereka secara rahsia. Akibat perbuatan tersebut, St. Valentine telah ditangkap dan diheret, yang akhirnya dihukum belantan sehingga mati serta dipenggal kepalanya pada 14 Februari dalam tahun 270 Masihi. Bagi memperingatinya sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, maka 14 Februari dijadikan sebagai hari memperingati kematian St. Valentine sebagai upacara keagamaan. Terdapat tiga nama seorang paderi yang paling berpengaruh pada
zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu St. Valentine yang status kedudukannya adalah di tempat kedua tertinggi selepas Pope. Apabila St. Valentine menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan pasangannya dari pengamal protestan sewaktu kerajaan Sepanyol berjaya menumpaskan kerajaan Islam, timbul kegemparan rakyat Cordova kerana St. Valentine merupakan seorang Paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan, lebih-lebih lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin. Tindakan St. Valentine yang mengambil keputusan berkahwin dengan pasangannya itu telah menimbulkan rasa murka Ratu Isabella, lalu memenjarakannya buat sementara waktu. Ratu menetapkan 14 Februari sebagai hari Kekasih untuk St. Valentine sendiri. Sejarah di atas jelas menunjukkan bahawa Hari Valentine
merupakan perayaan keagamaan yang disambut oleh umat Kristian. Malah sekiranya kita merujuk kepada kenyataan-kenyataan pihak Kristian pada hari ini, mereka masih menganggap Hari Valentine sebagai satu ritual di dalam agama Kristian terdapat petikan Bermaksud : Perayaan Kristian terhadap kecintaan kepada Tuhan, dipersembahkan buat Jesus dan di kalangan penganut Kristian, St. Valentine merupakan syahid abad ketiga. Hari ini dilihat begitu meluas sekali dirayakan di USA sebagai perayaan cinta di zaman sekular. Berdasarkan fakta-fakta di atas, jelas bahawa Hari Valentine merupakan salah sebuah perayaan yang menjadi amalan ritual di dalam agama Kristian. Ini sekaligus bercanggah dengan prinsip Islam yang tidak membenarkan umatnya meniru identiti atau cara hidup agama lain lebih-lebih dalam soal yang melibatkan aqidah Islam. Islam sangat prihatin dan sangat menginginkan supaya umatnya mempunyai identiti yang tersendiri dan berbeza dengan identiti umat yang lain. Kerana itu penghayatan akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak sertatradisi-tradisi yang ada pada umat Islam tidak boleh sama dan serupa dengan umat lain. Dalam erti kata lain umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah dan peribadatan agamanya dengan akidah dan peribadatan agama lain.Jadi sebagai orang islam jangan la sesekali menyambut perayaan ini.

Ikhlas daripada,

Muhammad Faiz bin Hashim
Ketua Pemuda Umno Cawangan Lembah Sekilau.